Kalau kedua-duanya (suami isteri) hendak menceraikan penyusuan sebelum dua tahun dengan persetujuan dan perundingan antara kedua-duanya, tidaklah mengapa. Dan kalau kamu hendak menyusukan anakmu kepada perempuan lain, tidaklah mengapa jika kamu berikan pembayaran mengikut sepatutnya.

(al-Baqarah 2: 233)

Wednesday

Masalah kerap berlaku semasa berpantang

Beberapa masalah buah dada boleh berlaku selepas bersalin. Pertama, bengkak buah dada atau breast engorgement. Ini biasanya disebabkan oleh saluran susu pada puting tetek tersekat. Untuk menjauhkan masalah ini penting bagi setiap bakal ibu membersihkan puting buah dada dengan air bersih. Urutlah buah dada ke arah puting untuk memudahkan aliran susu. Jika buah dada selalu diurut, nescaya masalah saluran puting susu tersumbat boleh diatasi. Bengkak buah dada biasanya kerap berlaku di kalangan ibu yang tidak menyusukan anaknya.

Sebaiknya setiap ibu patut menyusukan bayinya dengan susu sendiri kerana khasiat makanan yang terkandung di dalamnya. Susu ibu sudah tersedia dan apa yang lebih pentingnya penyusuan ibu dapat merapatkan hubungan emosi antara bayi dan ibu. Bagi ibu yang telah membuat keputusan tidak akan menyusukan anaknya, masalah bengkak buah dada boleh diatasi dengan memakan ubat yang khusus untuk menyekat pengeluaran susu. Ubat ini mengandungi hormon estrogen yang dimakan lebih kurang lima hari. Ubat terbaru di pasaran untuk menyekat pengeluaran susu dan mencegah bengkak dan sakit buah dada ialah Bromocryptine yang dimakan selama beberapa hari.

Bengkak buah dada boleh menimbulkan masalah jangkitan kuman, mengakibatkan mastitis. Ini menyebabkan rasa sakit serta demam panas. Bagi mengawal keadaan ini, perlulah ibu berjumpa doktor yang kemudiannya akan memberi ubat antibiotik dan juga penawar sakit. Masalah jangkitan kuman pada buah dada boleh berlarutan menimbulkan masalah nanas atau abcess. Jika keadaan ini berlaku satu pembedahan kecil perlu dilakukan di hospital untuk mengeluarkan nanah itu. Ubat antibiotik, penawar sakit dan juga hormon untuk menyekat pengeluaran susu akan diberikan bagi merawat abcess ini.

Amalan menyusukan bayi dengan susu sendiri boleh mengatasi masalah yang saya nyatakan di atas. Di samping itu, kajian telah menunjukkan penyusuan ibu mungkin boleh menghindarkan atau mengurangkan risiko penyakit kanser buah dada. Oleh itu saya sering menasihatkan ibu menyusukan bayinya sendiri kerana menyusu sendiri itu amat banyak faedahnya. Penyusuan juga dikehendaki oleh agama Islam seperti yang ternyata dalam Surah al-Baqarah 233 yang bermaksud bahawa ibu patut menyusukan bayinya selama dua tahun.

0 KOMEN:

 
design by suckmylolly.com