Isu Bank Susu Ibu diketengahkan ke  pengetahuan umum negara ini pada 14 Mac 2006 yang lalu apabila Pengarah  Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Ybhg. Datuk Dr Ismail Merican  menyebutnya dalam ucapan perasmian Seminar Isu-isu Perubatan Menurut  Perspektif Islam di Dewan Besar, IKIM. 
Tindakan  membankan susu ibu asli ini berpunca dari dua masalah besar yang  dihadapi oleh para bayi. Pertama, sebahagian mereka yang lahir sebelum  masa memerlukan penjagaan rapi dan pembekalan susu ibu yang mencukupi.  Pada kebiasaannya, mereka tidak dapat menerima susu lain selain susu ibu  asli. Keduanya, sebahagian bayi yang lain, sama sekali tidak dapat  menerima susu tiruan biarpun mereka lahir sesudah matang kandungan  masing-masing. Kekurangan susu ibu asli bagi kedua-dua kelompok ini  boleh menjejaskan kesihatan dan kehidupan mereka. Justeru, timbullah  usaha mengumpulkan susu ibu asli daripada ratusan ibu dari pelbagai  bangsa, agama dan negara. Susu ini disimpan secara saintifik di suatu  tempat yang terjamin keselamatannya dan akan dikeluarkan berdasarkan  permintaan dan keperluan yang mendesak daripada sebahagian bayi  tertentu. Tempat penyimpanan itulah diistilahkan sebagai Bank Susu Ibu.  Susu ini akan dikeluarkan berdasarkan permintaan atau keperluan yang  mendesak daripada sebahagian penjaga/waris bayi tertentu secara  komersial pada peringkat antara bangsa.
Sebenarnya  isu ini bukanlah satu perkara baru dalam dunia kesihatan. Pada  penghujung tahun 90an, dua ulama' terkenal, iaitu Dr. Yusuf al-Qaradawi  dan Dr. Ahmad al-Sharabasi telahpun membincangkannya di dalam buku  masing-masing.
Ada dua persoalan yang berbangkit  daripada isu ini, pertama ialah masalah penyusuan yang disebutkan  sebagai al-rada`ah, dan kedua masalah hukum menjual susu manusia.  Penumpuan dalam artikel ini hanyalah kepada persoalan Bank Susu Ibu.
Persoalan pertama merujuk kepada sabda baginda Rasulullah s.a.w. yang mengatakan bahawa apa yang diharamkan dengan sebab penyusuan adalah sama dengan apa yang diharamkan dengan sebab keturunan  (riwayat al-Bukhari, 6:336; Muslim, 2:1072). Hadis ini menekankan  beberapa hukum, antaranya ialah larangan berkahwin di antara seorang  bayi susuan dengan saudara sesuannya, masalah `aurat dalam pergaulan  harian dan masalah pembatalan wudu' di antara kedua-dua mereka kerana  mereka adalah saudara seibu susuan.
Jika kita merujuk kepada tindakan al-rada`ah  atau penyusuan seseorang bayi ia boleh berlaku menerusi hisapan  mulutnya atau penuangan susu ke dalam mulut atau hidungnya (rujuk  pandangan Mazhab Hanafi, Maliki dan Shafi`i). Ketiga-tiga cara ini boleh  berlaku dengan penggunaan susu dari Bank Susu Ibu. 
Hanya  satu pendapat di dalam Mazhab Hanbali sahaja yang mengatakan bahawa  penyusuan tidak akan berlaku kecuali dengan hisapan bayi pada puting ibu  susuannya
Di sini akan berbangkit masalah  bagaimanakah menentukan ibu susuan seseorang bayi dan seterusnya  siapakah pula saudara sesuannya?. 
Dr. Yusuf al-Qaradawi ketika mengupas masalah ini, merujuk kepada firman Allah (surah al-Nisa' ayat 23) yang menyebut bahawa ibu-ibu kamu ialah mereka yang telah menyusukan kamu.  Beliau mengatakan bahawa penyusuan yang melahirkan hukum haram  perkahwinan dan lain-lain itu merujuk kepada perkataan rada`ah yang  bermaksud penyusuan menerusi puting ibu ke mulut seseorang bayi,  sambutan bayi berkenaan terhadap penyusuan itu dan pergantungannya  dengan si ibu yang menampilkan suasana manja dan mesra (antara  kedua-duanya). Dalam pengertian ini ada tiga perkara asas yang  perlu diperhatikan, pertama: ibu yang tertentu yang memberi penyusuan,  kedua: hisapan bayi pada puting ibu berkenaan dan kedudukan bayi di atas  ribaannya atau dalam pelukannya yang menampilkan suasana pergantungan,  kemanjaan kemesraan di antara bayi dengan ibunya. Berdasarkan kepada  kedudukan ini beliau menyimpulkan bahawa rada`ah atau penyusuan yang  menimbulkan hukum penyusuan sama sekali tidak akan berlaku di dalam isu  penyusuan bayi menerusi Bank Susu Ibu kerana beberapa sebab; pertamanya:  kita tidak dapat mengenalpasti personaliti ibu sebenar kerana susu itu  dikumpul daripada ratusan ibu, keduanya: hisapan tidak mungkin berlaku  pada puting seseorang ibu kerana bayi berkenaan akan diberikan susu  menerusi hisapan pada puting botol susu atau pelbagai cara yang lain,  dan ketiganya: bayi sama sekali tidak akan berada di atas ribaan ibu  susu yang sebenar. Dengan itu tidak terdapat jalinan mesra di antara  bayi dengan ibu. Justeru, beliau menyimpulkan bahawa tidak timbul lagi  masalah halangan perkahwinan di antara sesama anak sesusuan dan  masalah-masalah yang lain.
Bertolak dari kedudukan  ini, usaha untuk mewujudkan Bank Susu Ibu seharusnya digalakkan kerana  ia memberi sumbangan besar kepada keperluan bayi, khususnya, para bayi  yang bermasalah dengan dengan susu tiruan. Ia merupakan amalan terpuji  dan tidak bercanggah dengan mana-mana prinsip syari`ah, malah ia adalah  selaras dengan maqasid syari`ah yang antaranya bertujuan mengawal keselamatan diri manusia.


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 KOMEN:
Post a Comment