S: Ketika menyusukan bayi, hanya payu dara kanan mengeluarkan susu dengan lancar. Payu dara kiri pula tidak dapat mengeluarkan susu dengan banyak. Akibatnya saya tidak selesa kerana payu dara sering berat sebelah. Malah, jika anak menyusu di sebelah kiri, dia akan meragam kerana pengeluaran susu tidak lancar. Apakah puncanya dan jalan penyelesaiannya?
Alin, Hulu Selangor
Alin, Hulu Selangor
J: Ada kalanya bayi akan menolak atau meragam ketika menyusu dari anda atas beberapa sebab. Antaranya refleks pancutan susu terlalu perlahan atau terlalu laju ataupun bekalan susu berkurangan. Oleh kerana itulah, bayi lebih suka menyusu dari payu dara yang mana aliran susunya lebih baik dan banyak. Keadaan ini juga menjadi penyebab mengapa saiz payu dara berbeza (satu besar, satu kecil). Kadang kala ini boleh menyebabkan ibu berasa tidak selesa. Antara punca mengapa berlakunya perbezaan bekalan dan aliran susu di antara payu dara ialah:
Keadaan fizikal payu dara.
Semua wanita mengalami keadaan di mana sebelah payu dara mempunyai lebih duktus atau alveoli berbanding yang sebelah lagi. Keadaan ini adalah normal. Perbezaan keadaan areola/ puting agak biasa berlaku (puting tenggelam/leper). Keadaan ini menyebabkan bayi lebih mudah dan gemar melekap pada payu dara yang berkeadaan normal.
Bayi menggemari salah satu belah payu dara sahaja.
Kebiasaannya, bayi akan lebih menggemari satu belah payu dara. Oleh itu, dia akan menyusu dengan lebih efisyen dan kerap dan menerusi payu dara yang disukainya.
Ibu menggemari salah satu belah payu dara.
Antara sedar atau tidak, anda mungkin lebih suka menawarkan sebelah payu dara lebih kerap berbanding yang sebelah lagi. Biasanya perkara ini akan berlaku pada waktu malam apabila ibu tidak perasan kerana terlalu letih atau mengantuk.
Pembedahan atau kecederaan.
Jika salah satu belah payu dara pernah cedera atau dibedah, ia mungkin mempengaruhi bekalan atau aliran susu.
Kesabaran dan kegigihan adalah kunci kejayaan. Teruskan usaha anda! Bayi anda mungkin akan menerima kembali payu dara sebelah kiri anda sedikit masa lagi. Jika dia masih meragam atau enggan, anda harus teruskan rangsangan di payu dara kiri dengan memerah sekerap mungkin. Ini penting untuk memastikan bekalan susu berkekalan.
Sekiranya perbezaan saiz payu dara merisaukan puan, di sini saya sertakan beberapa tip untuk memperbetulkan keadaan:
Mulakan penyusuan pada payu dara yang kurang digemarinya (pastikan bayi berada dalam keadaan tenang ketika itu) dan lebihkan penyusuan pada payu dara tersebut. Memerah payu dara yang kecil selama 5 – 10 minit selepas sesi penyusuan.
Harap penjelasan di atas dapat membantu puan. Semoga berjaya!
Penyelesaian
Perlu diingat bahawa bayi perlu dipujuk dan bukan dipaksa! Oleh itu, teknik memujuk amatlah penting dalam usaha untuk mengembalikan minatnya untuk menyusu di sebelah payu dara yang tidak digemari.
1. Cuba susukan bayi ketika dia baru bangun tidur dan belum benar-benar sedar atau ketika dia sedang mengantuk. Bayi akan lebih mudah bekerjasama dan bertindak secara spontan.
2. Mulakan penyusuan pada payu dara yang kurang digemarinya terlebih dahulu dan apabila berlakunya pancutan refleks, alih ke payu dara yang sebelah lagi tanpa mengubah posisi kepalanya. Sebagai contoh, mulakan dengan posisi Cradle Hold kemudian alihkannya kepada posisi Football Hold. Anda juga boleh praktikkan posisi penyusuan yang lain.
sumber : PA&MA
0 KOMEN:
Post a Comment